KAJANG: Seramai 15 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dengan berkonvoi dikompaun ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Semenyih-Kuala Klawang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas menerima maklumat terdapat kumpulan motosikal itu menggunakan laluan tersebut.

“Dalam operasi tersebut, seramai 15 penunggang motosikal telah ditahan dan diperiksa sebelum mendapati mereka jelas melanggar SOP yang dikuatkuasakan kerajaan.

"Kesemua penunggang motosikal berusia 18 hingga 41 tahun itu telah dikenakan kompaun berjumlah RM75,000 iaitu RM5,000 setiap seorang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Mohd Zaid berkata, pihaknya turut mengenakan 19 saman lalu lintas membabitkan pelbagai jenis kesalahan.

“Operasi ini akan dijalankan di lokasi spesifik dari masa ke masa untuk memastikan tiada pelanggaran SOP dan kesalahan lalu lintas berlaku," ujarnya.

Artikel asal di Sinar Harian: Konvoi semasa PKP, 15 penunggang motor berkuasa tinggi dikompaun RM75,000