SINTOK: Penggunaan platform digital dalam aktiviti perniagaan mampu menjadi pemangkin kepada koperasi siswa untuk menarik lebih ramai penyertaan Generasi Z, selain memastikan gerakan koperasi terus seiring dengan perkembangan semasa.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata koperasi siswa perlu meneroka penggunaan e-dagang, e-dompet dan pembayaran kod QR sebagai sebahagian daripada usaha menyesuaikan operasi dengan corak kehidupan mahasiswa masa kini.
Beliau berkata perubahan corak pembelian dalam kalangan generasi muda ke arah platform dalam talian menuntut koperasi siswa supaya tidak hanya bergantung kepada premis dan kaedah jualan secara fizikal.
“Generasi ini lebih selesa membeli secara dalam talian berbanding fizikal. Jadi koperasi siswa juga perlu berubah mengikut cara dan keperluan generasi mereka,” katanya selepas menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara ANGKASA dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Abdul Fattah berkata keanggotaan koperasi siswa yang didominasi golongan muda memberikan kelebihan dalam membantu memperkenalkan pendekatan perniagaan berasaskan teknologi di kampus.
“Mahasiswa terdedah kepada penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian. Jadi lebih mudah menerima perubahan itu dan berpotensi menjadikan koperasi siswa sebagai peneraju transformasi digital gerakan koperasi.
“Kalau kita mahu mengubah koperasi yang sudah lama beroperasi, cabarannya agak besar kerana mereka sudah biasa dengan cara lama. Sebab itu koperasi siswa platform paling sesuai untuk jadi pelopor kepada transformasi digital gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata penerapan teknologi digital turut membuka ruang kepada mahasiswa memperluas aktiviti perniagaan tanpa terhad kepada pasaran dalam kampus sahaja.
“Mahasiswa boleh membangunkan perniagaan dalam talian mengikut trend semasa. Mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi boleh menjadi pencipta peluang perniagaan melalui koperasi,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata kerjasama strategik antara ANGKASA dan UUM menumpukan kepada usaha memperkukuh koperasi siswa, termasuk menerusi penjenamaan semula agar lebih menarik kepada golongan mahasiswa.
“Kita mahu koperasi siswa menjadi platform kepada mahasiswa untuk mempelajari keusahawanan, ilmu koperasi dan membentuk jati diri koperasi. Apabila tamat pengajian, mereka boleh menjadi pemimpin atau penggerak koperasi generasi baharu,” katanya.
-- BERNAMA