DOHA: Korea Selatan melangkah ke peringkat suku akhir Piala Asia 2023 apabila mengalahkan Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan penalti, selepas terikat 1-1 pada aksi pusingan 16 terbaik yang berlanjutan sehingga 120 minit permainan di sini, malam tadi (awal pagi waktu Malaysia).

Penjaga gol, Jo Hyeon-woo muncul wira Korea Selatan pada penentuan penalti itu, apabila menafikan dua rembatan pemain Arab Saudi yang diambil masing-masing Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb, untuk terus menghidupkan cabaran Taegeuk Warriors dalam pemburuan gelaran ketiga mereka.

Terdahulu pada 90 minit permainan di Stadium Education City itu, pemain muda Abdullah Radif meletakkan Green Falcons di depan, sejurus selepas waktu rehat, sebelum Cho Gue-sung menyamakan kedudukan di lewat separuh masa kedua untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Korea Selatan turun dengan skuad terkuat apabila Jurgen Klinsmann membariskan nama-nama besar yang beraksi di Eropah, antaranya bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min, Kim Min-jae (Bayern Munich), Jeong Woo-yeong (VFB Stuttgart) dan Lee Kang-in yang beraksi untuk Paris Saint-Germain.

Namun, disiplin bertahan tinggi dipamerkan anak buah Roberto Mancini yang kesemuanya beraksi di Liga Pro Saudi, menyaksikan lawan buntu mencetak jaringan dengan peluang terbaik pada separuh masa pertama, hadir menerusi percubaan Son yang diselamatkan Ahmed Al-Kassar pada minit ke-26.

Percubaan berbahaya pada babak pertama hadir di hujung permainan, apabila tandukan Saleh Al Shehri berpunca dari sepakan penjuru Mohammed Al Burayk pada minit ke-41, menyaksikan bola tepat ke palang gol sebelum tandukan susulan oleh Ali Lajami turut hanya menggegar palang.

Bersambung babak kedua, percaturan Mancini membawa masuk Radif menggantikan Al Shehri membuahkan hasil, apabila pemain Al Shabab berusia 21 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan buat Arab Saudi pada minit ke-46, sekali gus menambah tekanan kepada pasukan lawan.

Gol itu terhasil berpunca gerakan dari sebelah kiri, menyaksikan kapten pasukan Salem Al-Dawsari yang menerima hantaran, membuat tampanan cantik serta mengelirukan untuk Radif menyambar bola, sebelum dengan tenang melepaskan rembatan ke penjuru kanan yang gagal diselamatkan Jo.

Korea Selatan yang tertekan melancarkan serangan bertali arus, menyaksikan lambakan peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan, antaranya sepakan dari jarak dekat Hwang In-Beom pada minit ke-86 yang diselamatkan Al-Kassar menggunakan kaki.

Penjaga gol Al Fayha berusia 33 tahun itu, sekali lagi mempamerkan kecekapannya apabila menafikan tandukan Seol Young-woo dari jarak dekat seminit kemudian, sebelum bernasib baik tidak dibolosi apabila tandukan Cho hanya menggegar palang memasuki tiga minit masa tambahan babak kedua.

Namun, asakan demi asakan membuahkan hasil buat Korea Selatan apabila berjaya menyamakan kedudukan ketika masa tambahan berbaki seminit, menerusi tandukan Cho berpunca hantaran lintang Seol.

Kim terlepas peluang menjaringkan gol ketiga Korea Selatan selepas tandukannya berpunca hantaran lintang Lee diselamatkan Al-Kassar pada minit ke-98, sebelum penjaga gol itu terus menjadi tembok halangan apabila menafikan rembatan deras Lee pada minit ke-115.

Pada masa tambahan melepasi 120 minit permainan menyaksikan Jo menjadi penyelamat Korea Selatan, apabila menepis keluar rembatan Radif untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Mohammed Kanno dan Saud Abdulhamid masing-masing tenang menyempurnakan dua penalti pertama Arab Saudi sebelum tendangan Al-Naji dan Ghareeb yang kedua-duanya menghala ke arah kiri gol bijak dibaca Jo untuk menepis bola keluar.

Son yang juga ketua pasukan Korea Selatan bersama Kim Young-gwon, Cho dan Hwang Hee-chan, masing-masing menyempurnakan tugas dengan baik selepas tidak berdepan masalah menewaskan Al-Kassar di gawang.

Korea Selatan yang merupakan juara dua kali, akan bertemu juara 2015 Australia pada pentas suku akhir di Stadium Al Janoub, Jumaat ini. - BERNAMA