KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan ketetapan kos baharu menunaikan ibadah haji pada Jumaat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa bantuan pembayaran haji akan tetap diteruskan kepada bakal jemaah pada tahun ini.

"Jika tiada aral melintang, Insya-Allah pihak pengurusan Tabung Haji akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu pada jemaah haji pada esok, yakni pada hari Jumaat pada waktu yang akan dimumkan kelak.

"Bantuan pembayaran haji juga akan diumumkan Tabung Haji esok," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Sempena bulan Ramadan ini, Idris turut memohon umat Islam supaya Allah mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan kemudahan bagi TH serta menguruskan jemaah haji dengan baik. 

Sebelum ini media melaporkan, TH menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH turut memaklumkan kos berkenaan merupakan peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.