KOS projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin boleh dikurangkan lagi sekiranya skop kerja turut dikurangkan, kata perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terpulang kepada scope of work. Kalau kita boleh kurangkan scope of work, mungkin kita dapat kurangkan kos.”

Dalam pada itu, beliau memuji sikap prihatin kerajaan China yang bersetuju mempertimbangkan pengurangan kos setelah melihat kepada kekangan kewangan negara.

“Negara China sedar tentang masalah kita iaitu kekurangan kewangan kita dan mereka bersetuju mengurangkan kos.

“Ini satu sikap yang cukup prihatin - cukup mengambil kira sensitiviti pihak lain,” tambah Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian pada sidang media di China World Hotel, Beijing sempena lawatan kerja ke China selama lima hari.

Ketika menjawab soalan wartawan mengenai rundingan yang dibuat kerajaan dahulu, beliau berkata: “Perdana Menteri dahulu yang membuat rundingan sehingga tiada due diligence, tiada feasibility studies.

“Cuma buat keputusan hanya untuk membuat railway. Not transparent. Lepas itu, nak pinjam duit banyak-banyak,” tambah beliau.

Dalam satu jawapannya mengenai kos ECRL, RM1 bilion yang bakal dipulangkan oleh pihak China Communications Construction Co Ltd (CCCC) adalah disebabkan oleh kerja yang belum disiapkan.

“Kita telah membuat bayaran berlebihan. Kita dah bayar lebih daripada kerja yang disiapkan,” jelas Tun Mahathir.

Oleh hal yang demikian, kos RM44 bilion yang telah dikurangkan daripada kos asalnya iaitu RM65.5 bilion akan dikurangkan lagi kepada RM43 bilion.

Beliau juga menjelaskan mengenai inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) yang seringkali menjadi kebimbangan rakyat.

“Kami sedang mengurus hutang negara, sebab itu kami cuba untuk keluar daripada situasi tersebut.

“Perangkap hutang itu berlaku kepada negara lain. Mereka meminjam terlalu banyak dan mereka tidak boleh bayar lalu kehilangan projek kepada pihak peminjam,” tegasnya.

Beliau mengakhiri lawatan lima harinya ke China untuk menghadiri Forum Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.