KOTA BHARU: Pihak berkuasa menyiasat tindakan segelintir pengurus jenazah yang didakwa mengenakan bayaran melampau mencecah RM1,300 hingga RM1,800 bagi proses tayamum dan kafan jenazah pesakit COVID-19 di beberapa hospital di Kelantan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata beliau difahamkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan memanggil pihak terlibat dalam masa terdekat.

Katanya, aktiviti mengambil untung berlebihan di atas kesengsaraan waris pesakit COVID-19 tidak sepatutnya berlaku, jika dakwaan itu benar.

"Kalau caj berlebihan dan mangsa terbeban... ia sangat tidak patut...

"Perkara ini berbangkit apabila terjadi kepada mereka yang tak mampu. Tapi insya-Allah keadaannya terkawal dan pihak hospital serta agensi kerajaan tak kenakan caj pun.

"Apapun, kita sedang berunding dan menyiasat untuk menghentikan polemik ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di Pulau Gajah di sini, hari ini.


Pengurusan Jenazah | Caj tayamum jenazah COVID-19 tidak masuk akal

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak dapat maklumat tepat sama ada wujud kartel pengurusan jenazah di bilik mayat hospital di Kelantan.

Katanya proses pengurusan jenazah biasanya tidak dilakukan oleh kakitangan hospital atau unit forensik sebaliknya pihak pengurusan dari luar.

BACA: Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

BACA: Kos urus jenazah: HRPZII tidak kenakan bayaran guna fasiliti - Pengarah

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan mengenai bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit COVID-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 yang disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tengku Harith Team Ventures, dilaporkan mendakwa bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum dan mengkafankannya sahaja.

BACA: "RM1,400 sangat mahal" - Waris mangsa COVID-19 kesal kos tayamum membebankan

BACA: Kos urus jenazah: Maik tidak pernah keluar senarai nama pengurus jenazah

Berikutan itu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dalam satu kenyataan menegaskan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penggunaan fasiliti dan utiliti bagi urusan menyempurnakan jenazah pesakit COVID-19 di hospital itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali, menjelaskan pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh hospital berkenaan.

Namun, pihaknya menyediakan kemudahan berkenaan di Jabatan Forensik tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti dan juga utiliti.