MALAYSIA
KPDN komited perkasa usahawan digital, bendung produk tiruan

Fuziah berkata KPDN turut bertindak memantau harga barangan dalam platform e-dagang supaya tidak berlaku manipulasi harga, selain mengurus aduan melalui eAduan KPDN yang boleh dibuat oleh pengguna dan peniaga. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh peranan dalam memajukan usahawan digital menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) yang bertujuan memperkasa pengusaha memanfaatkan teknologi digital.
Timbalan Menterinya Datuk Fuziah Salleh berkata selain inisiatif pembangunan, KPDN juga melaksanakan pemantauan berterusan terhadap platform e-dagang, media sosial dan laman sesawang bagi mengesan iklan palsu, tawaran mencurigakan serta produk tiruan.
"Kita sedar usahawan digital berdepan isu seperti barangan ditiru secara terang-terangan dan dijual di platform e-dagang, menyebabkan barangan tiruan berkualiti rendah membanjiri pasaran tempatan. Justeru, KPDN akan terus berperanan sebagai pelindung pengguna dan usahawan sah daripada pesaing tidak adil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pertemuan dengan delegasi komuniti usahawan digital Malaysia yang diketuai Syed Gaddafi Syed Saifuddin di sini semalam.Fuziah berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan di bawah beberapa akta termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Syarikat 2016, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta Akta Cap Dagangan 2019.
Beliau berkata KPDN turut bertindak memantau harga barangan dalam platform e-dagang supaya tidak berlaku manipulasi harga, selain mengurus aduan melalui eAduan KPDN yang boleh dibuat oleh pengguna dan peniaga.
Matlamat utama, beliau berkata adalah untuk memperkasakan usahawan khususnya yang terlibat dalam perniagaan dalam talian melalui khidmat nasihat, pendaftaran cap dagang serta perlindungan harta intelek.
"KPDN komited membantu proses aduan sekiranya produk mereka ditiru kerana penguat kuasa mempunyai kuasa untuk menurunkan iklan barangan tiruan, dengan syarat pemilik produk sendiri membuat aduan.
"Dalam masa sama, kita cuba mempercepatkan proses pendaftaran cap dagang di MyIPO kepada tempoh empat bulan selain memberi advokasi pengguna agar mengutamakan barangan buatan tempatan," katanya.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan persaingan sihat dalam industri sekali gus memberi jaminan kepada pengguna untuk mendapatkan produk berkualiti, selamat dan pada harga berpatutan.
Hingga 31 Julai 2025, dianggarkan terdapat 4.65 juta usahawan atau penjual Malaysia beroperasi di platform e-dagang utama seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop, dengan 95 peratus daripadanya adalah usahawan digital tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami