MALAYSIA
KPDN laksana tiga kerangka baharu mekanisme kawalan harga dan subsidi minyak masak

Langkah ini penting bagi memastikan subsidi minyak masak bersubsidi benar-benar dinikmati rakyat Malaysia, kata Datuk Armizan Mohd Ali. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan penambahbaikan menyeluruh terhadap mekanisme kawalan harga dan subsidi minyak masak menerusi tiga kerangka utama.
Ringkasan AI
- KPDN perkenal pendekatan baharu kawalan harga minyak masak dengan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan, SOP diperketat serta pengurusan risiko ketirisan dan penguatkuasaan diperkasa.
- Pemantauan digital subsidi dijalankan melalui sistem eCOSS dan Aplikasi Mobile eCOSS yang rekod transaksi pembelian pengguna dan semak tuntutan subsidi secara masa nyata, diselaraskan dengan data JPN.
- Program perintis di Johor melalui PJRM dimulakan untuk ketelusan agihan subsidi, susulan dapatan LKAN yang dedah kelemahan tadbir urus dan risiko manipulasi perolehan bernilai RM48.87 bilion.
“KPDN komited untuk melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan yang menyeluruh dan tegas untuk membanteras ketirisian subsidi kerajaan,” demikian katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selaras dengan usaha itu, KPDN kini merintis pemantauan secara digital melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang dibangunkan sejak 2023 dan mula digunakan sepenuhnya pada 2024.
Sistem eCOSS berfungsi memantau keseluruhan rantaian pembekalan minyak masak, bermula dari syarikat pembungkus hingga ke peringkat peruncit serta termasuk semakan tuntutan bayaran subsidi.
Bagi memperkukuh lagi kecekapan sistem, KPDN turut memperkenalkan Aplikasi Sistem Mobile eCOSS yang sedang dirintis bermula Mei 2025.
“Melalui aplikasi ini, transaksi pembelian di peringkat pengguna akan direkodkan, dan KPDN boleh memantau rekod jumlah penjualan oleh peruncit serta pembelian pengguna,” katanya.
Tambah beliau, data pengguna akan diselaraskan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat subsidi.
“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan dan pembelian melebihi had serta kepada warga asing,” katanya lagi.
Program perintis aplikasi ini sedang dilaksanakan melalui Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan dimulakan secara berperingkat di negeri Johor.
Kerajaan Negeri Johor telah memberikan persetujuan penuh terhadap pelaksanaan rintis ini sebagai langkah awal memperkasa ketelusan agihan subsidi.
Pada 21 Julai, LKAN mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus melibatkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan nilai keseluruhan projek diaudit mencecah RM48.87 bilion.
Turut disentuh dalam laporan ialah kelemahan pengurusan subsidi minyak masak dan kaedah perolehan tender baharu "Pre-Qualification Terpilih" yang membuka ruang kepada manipulasi serta melambatkan proses perolehan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami