Skip to main content

Malaysia

KPDN lancar kempen "Jom Beli Selamat" tangani penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berucap pada perasmian Shopee Seller Summit dan Kempen Jom Beli Selamat hari ini._BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berucap pada perasmian Shopee Seller Summit dan Kempen Jom Beli Selamat hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan kes penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan kempen “Jom Beli Selamat!: Klik Tanpa Risau” bagi memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem digital.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif bersama Shopee dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bertujuan mempergiat agenda pendidikan kepenggunaan, khususnya dalam membudayakan amalan urus niaga dalam talian yang lebih selamat serta mengurangkan risiko pengguna menjadi mangsa penipuan.

“Platform seperti Shopee ini menyediakan saluran untuk memasarkan, mempromosi dan menjual barangan, dan ia perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Jadi penting untuk kita (KPDN) bekerjasama supaya ekosistem ini dapat membantu menangani isu scam (penipuan), sekali gus memastikan rakyat lebih selamat berbelanja,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen berkenaan sempena Shopee Seller Summit 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia Nik Emir Nik Mohamed Din serta Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman SAC Mohamed Lazim Ismail.

Armizan berkata kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian di negara ini telah melepasi RM4.54 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2025, membabitkan lebih 101,000 kes.

Beliau berkata sebanyak 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion direkodkan pada 2024, sebelum meningkat hampir dua kali ganda kepada 66,204 kes dengan kerugian RM2.97 bilion pada tahun lepas.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, beliau berkata kerugian melebihi RM430 juta direkodkan, menunjukkan trend jenayah itu masih berterusan.

Selain itu, beliau berkata Shopee dan PDRM turut membangunkan sebuah laman mikro pendidikan yang menyediakan panduan praktikal mengenai taktik penipuan lazim, amalan pembelian selamat, langkah pencegahan serta akses kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement