PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan tindakan segera dan bersepadu diambil bagi menangani peningkatan aduan melibatkan platform e-dagang, khususnya berkaitan fi komisen tinggi yang membebankan peniaga serta kes penipuan yang menjejaskan pengguna.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan aduan awam yang semakin meningkat.
Menurut beliau, penelitian sedang dilakukan terhadap beberapa isu termasuk kes barangan yang diterima pengguna tidak sepadan dengan spesifikasi yang ditempah serta caj operasi yang disifatkan membebankan peniaga mikro.
"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh para pengguna platform e-dagang, khusus berkait sama ada fi komisen yang tinggi dikenakan kepada penjual mahupun produk yang dibeli diterima tetapi tidak seperti yang ditempah.
"Beberapa perkara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah minta pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) serta Kementerian Komunikasi khususnya melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk ambil tindakan segera, terutama berkait fraud ataupun scam," katanya dalam sidang media mingguan, di sini, pada Jumaat.
Fahmi menjelaskan, MCMC telah memanggil semua pengendali utama platform e-dagang di Malaysia dalam satu sesi pertemuan khas beberapa minggu lalu bagi membincangkan ketetapan pematuhan.
Langkah itu, katanya, akan disusuli dengan satu sesi pemukiman antara agensi penguatkuasaan berkaitan dalam masa terdekat bagi memperincikan kerangka tindakan undang-undang yang lebih tegas.
"Bagi agensi-agensi penguatkuasaan, satu pemukiman akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu yang akan datang bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani masalah yang dihadapi oleh pengguna.
"Arahan Perdana Menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera. Insya-Allah esok sewaktu sambutan Hari Kurier Negara, saya akan ada beberapa pengumuman tambahan berkait isu ini," tambah beliau.