SELAYANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memohon lanjutan kuasa bagi membantu Kementerian Pertanian dalam pemantauan isu bekalan beras secara sementara di negara ini.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu disebabkan punca kuasa KPDN yang terbatas terhadap barangan tertentu sekali gus menyukarkan pelaksanaan tindakan.

Bercakap mengenai isu kekurangan bekalan beras, Armizan menyatakan perkara itu sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Kekangan kita adalah pemantauan yang (boleh) kita laksanakan (hanya) terhadap rantaian bekalan tertentu dan peruncit sahaja.

"KPDN tidak mempunyai kuasa khususnya dalam konteks harga dan jualan berdasarkan Akta 522.

"Kita akan bentangkan dalam mesyuarat tentang keperluan dan hasrat KPDN untuk bekerjasama dengan KPKM supaya penguatkuasa KPDN turut diberikan kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di sebuah pasar raya di sini, pada Selasa.

Menurut Armizan, pihaknya yakin pelaksanaan kuasa tambahan itu bukan satu perkara yang rumit selain tidak memerlukan pindaan undang-undang.

Mengluas lanjut, Armizan memberitahu, perkara itu akan dibawa di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Dalam pada itu, beliau mengakui wujud isu kekurangan bekalan beras tempatan berdasarkan pemantauan yang dibuat hari ini.

Ujarnya, bekalan yang diterima ketika ini jauh berbeza dibandingkan dengan sebelum ini.

Kerajaan juga katanya akan menawarkan subsidi terhadap jualan beras import menerusi jualan Rahmah.

Perkara itu dibuat bagi mengatasi isu gangguan bekalan beras tempatan buat sementara ini.

"Jualan rahmah sedang berlangsung dan kita akan perbanyakkan bekalan beras termasuk beras import pada kadar subsidi supaya kita tidak terlalu bergantung kepada beras tempatan," ujarnya.