Skip to main content

Malaysia

KPDN nyahaktif 179 syarikat dari Sistem eCOSS, usaha bendung ketirisan subsidi minyak masak

JOHOR BAHRU, 18 Mei -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita pada Program Advokasi Dasar Pengguna 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fuziah berkata sistem eCOSS membolehkan pemantauan transaksi dilakukan secara lebih menyeluruh melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong, peruncit sehingga pengguna. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyahaktifkan 179 syarikat daripada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), selepas didapati melanggar syarat dan peraturan ditetapkan dalam usaha memastikan subsidi minyak masak peket bersubsidi sampai kepada golongan sasar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pihaknya terus memperkukuh usaha memastikan subsidi minyak masak dinikmati rakyat Malaysia yang layak menerusi pelaksanaan  eCOSS, yang menjadi instrumen utama pemantauan pengedaran minyak masak peket bersubsidi satu kilogram.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti membabitkan syarikat yang dinyahaktifkan itu, termasuk tidak mematuhi had kuantiti penyimpanan dibenarkan, membuat jualan melebihi had ditetapkan, menjual minyak masak bersubsidi kepada bukan warganegara, beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh serta mempunyai nisbah belian dan jualan yang meragukan.

“KPDN turut mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang cubaan menyeleweng subsidi yang diperuntukkan kerajaan, termasuk dakwaan penyalahgunaan identiti atau MyKad oleh warga asing untuk pembelian minyak masak bersubsidi seperti yang tular di media sosial.

“Pelbagai aduan, maklum balas dan cadangan diterima berkaitan sistem berkenaan sejak diperkenalkan dengan sebanyak 13,354 aduan dan maklum balas direkodkan pada 2024, diikuti 5,320 aduan pada 2025 selepas aplikasi Mobile eCOSS diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi 2026 sehingga kini, sebanyak 9,050 aduan dan maklum balas telah direkodkan, selari dengan peningkatan jumlah pengguna yang kini melebihi 5.01 juta orang.

“Setiap aduan, cadangan dan pandangan yang diterima akan diteliti serta diambil tindakan sewajarnya, bagi memastikan sistem eCOSS terus mesra pengguna dan berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.

Fuziah berkata kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan atau ketidakpatuhan yang boleh menyebabkan ketirisan subsidi, termasuk penjualan kepada warga asing serta aktiviti mencurigakan dalam rantaian bekalan.

Beliau berkata sistem eCOSS membolehkan pemantauan transaksi dilakukan secara lebih menyeluruh melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong, peruncit sehingga pengguna.

Mengulas dakwaan penyalahgunaan identiti dalam sistem eCOSS, Fuziah memberi jaminan bahawa setiap laporan akan disiasat secara terperinci sekiranya terdapat aduan rasmi dan bukti yang mencukupi.

Beliau berkata bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti, aplikasi Mobile eCOSS dilengkapi beberapa lapisan keselamatan termasuk penggunaan teknologi elektronik Know Your Customer (eKYC) yang memerlukan pengguna melakukan padanan swafoto dengan dokumen pengenalan diri semasa pendaftaran.

“Selain itu, aplikasi berkenaan turut diintegrasikan dengan MyDigital ID serta disemak silang dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan ketulenan dan ketepatan identiti pengguna,” katanya.

Fuziah berkata sejak pelaksanaan rintis Mobile eCOSS pada 1 Mei 2025 hingga 10 Jun lepas, lebih lima juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan aplikasi tersebut, dengan sebanyak 91 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dijual kepada rakyat Malaysia melalui sistem berkenaan dalam tempoh sama.

“Orang ramai yang mengesyaki berlaku penyalahgunaan identiti atau transaksi mencurigakan disaran membuat laporan segera kepada KPDN melalui Portal eAduan di https://eaduan.kpdn.gov.my untuk tindakan lanjut dan aduan mengenai aplikasi Mobile eCOSS boleh dibuat melalui [email protected],” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement