IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di kawasan perindustrian Simpang Pulai, dekat sini, petang semalam.

Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, kejayaan itu hasil intipan selama dua minggu berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Simpang Pulai dan Gopeng.

Menurutnya, hasil intipan telah berjaya mengesan sebuah motolori kanvas dalam keadaan mencurigakan yang disyaki sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak berjenama.

“Hasil intipan, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa, lebih kurang jam 1.30 petang telah berjaya membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Taman Perindustrian Tungzen,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, intipan juga telah mengesan motolori kanvas ini mengisi minyak di stesen terlalu lama iaitu selama lebih kurang satu jam.

“Curiga dengan keadaan tersebut, tindakan mengekori pergerakan motolori kanvas itu telah dilaksanakan oleh anggota penguat kuasa KPDN yang bertugas.

“Hasil tindakan tersebut telah berjaya menemui satu lokasi premis pusat pengumpulan minyak disyaki diesel di Taman Perindustrian Tungzen yang juga disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah,” ujarnya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua skid tangki berisi minyak disyaki diesel berada di premis tersebut.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas lori pula telah menjumpai dua buah ‘square tank’ berisi minyak disyaki diesel berada di atas motolori yang dilitupi kanvas.

Katanya, dua lelaki berusia 42 dan 32 tahun disyaki pemandu serta pemilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, sebanyak 7,600 liter minyak disyaki diesel bernilai RM102,640 serta peralatan kelengkapan telah disita, selain tiga buah lori yang disyaki telah diubah suai bagi membeli minyak diesel di stesen minyak berdekatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.