TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperkemaskan mekanisme menangani ketirisan dan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran dengan memberi kepada tumpuan kawasan berisiko tinggi yang terlibat program penyeragaman harga dan terletak berhampiran sempadan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata mekanisme yang dijalankan secara pengurusan mikro itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan Pulau Sebatik boleh menjadi perintisnya kerana ia adalah kawasan yang bersempadan dengan negara jiran dan boleh diperluaskan ke kawasan lain berisiko sama, kemudian.

"Kita ada data jumlah keperluan, kita mahu dapatkan senarai isi rumah dan isi rumah ini nama mereka akan diletakkan di pusat jualan, itu jadi sekurang-kurangnya apabila mereka mengambil barang, pengguna juga tahu mereka ada had mereka boleh mendapatkan bekalan itu, jadi KPDN boleh semak rekod.

Data isi rumah, KPDN harap kerjasama pemimpin setempat, wakil rakyat boleh membantu, agar diletakkan senarai nama ketua isi rumah jadi mereka (pusat jualan) boleh kenal pasti bagi kekang ketirisan penyeludupan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja rasmi di Pulau Sebatik di sini hari ini.

Menerusi program penyeragaman harga, beliau berkata kerajaan membelanjakan RM1.6 juta setahun menghantar barang kawalan iaitu diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras putih, gula putih bertapis kasar dan tepung gandum ke Zon Sebatik yang diharap dapat memanfaatkan penduduk.

Sementara itu Armizan berkata antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan KPDN pada tahun ini termasuk rujukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan anggaran keperluan isi rumah di sesebuah kawasan untuk menentukan jumlah kuantiti bekalan.

"Pada masa yang sama, sistem pelaporan pengedaran dan penjualan perlu diperkukuhkan untuk memastikan bekalan sampai dan dimanfaati golongan sasar.

Mekanisme yang lebih teliti wajar dipertimbangkan untuk kawasan berisiko ketirisan seperti Pulau Sebatik yang merupakan kawasan sempadan, ini termasuk mendapatkan kerjasama organisasi pentadbiran setempat," katanya.

Pada tahun lalu, menurutnya KPDN melaksanakan penambahbaikan bagi menangani ketirisan barang kawalan ke negara jiran dengan pelaksanaan proses tender perolehan dibuat secara terbuka berbanding proses pelantikan secara rundingan terus yang diguna pakai sebelum ini.

"Kita harap penambahbaikan ini dapat mengekang ketirisan penyeludupan kerana jumlah subsidi seluruh negara yang kerajaan tanggung tahun lalu untuk diesel sebanyak RM14 billion dan petrol RM20 bilion, jumlah ini boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur yang baik terutama untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA