BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, berjaya membongkar taktik menjadikan sebuah sauna terbiar untuk menyembunyikan minyak masak paket subsidi satu kilogram, selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Jalan Bukit Dumbar di George Town semalam.

Pengarahnya S.Jegan berkata bertindak hasil maklumat awam daripada penduduk di situ berhubung kegiatan menyembunyikan dan menyeleweng minyak masak bersubsidi di kawasan itu, pihaknya menjalankan risikan dan initipan sejak dua minggu lepas, sebelum menyerbu premis tersebut pada 10 pagi.

"Semasa serbuan kami menahan seorang lelaki berusia 40-an dan pemeriksaan lanjut menemukan 2,980 kilogram minyak masak paket sekilogram bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan RM6,407.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mendakwa semua minyak bersubsidi tersebut milik ayahnya dan dia langsung tidak tahu mengenainya. Namun kami menahannya untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jegan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk akan memanggil ayah lelaki itu yang berusia 60-an bagi membantu siasatan, bagi mengetahui dari mana beliau mendapatkan bekalan minyak bersubsidi tersebut dan untuk dijual kepada siapa.

Jegan berkata pemeriksaan juga mendapati lelaki itu menyimpan kesemua minyak masak bersubsidi tersebut di premis berkenaan yang disewanya, tanpa memiliki lesen borong atau runcit bagi bahan kawalan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan tersebut kerana menyalurkan maklumat berhubung kegiatan tersebut, dan memohon kerjasama orang awam untuk membantu pihak KPDN Pulau Pinang menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan penyelewengan bahan terkawal," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA