BATU KAWAN: Taktik sindiket memakir lori tangki di tepi jalan mati berhampiran kawasan perumahan untuk melakukan pemindahan diesel secara haram berjaya dibongkar Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam serbuan di Taman Perdana Simpang Ampat, pagi ini.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa pada 5 pagi hasil risikan selama enam bulan selepas mengesyaki berlaku aktiviti penyelewengan oleh sindiket di kawasan tersebut.
Advertisement
Beliau berkata ia merupakan modus operandi baharu di Pulau Pinang apabila sindiket berani mengambil risiko dengan memarkir lori tangki berkapasiti 24,000 liter di kawasan terbuka.
“Siasatan mendapati lori tangki ini telah ditinggalkan di sini selama kira-kira sebulan, manakala lori lain yang bertindak sebagai ‘gudang bergerak’ akan datang membawa muatan berisi diesel bagi tujuan pemindahan.
"Selepas diisi penuh, lori tangki ini akan bergerak untuk buat penghantaran ke lokasi tertentu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi, hari ini.
Jegan berkata meskipun kawasan itu sering dilalui kenderaan, kegiatan haram tersebut tidak disedari kerana sindiket memilih waktu awal pagi untuk beroperasi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata ketika serbuan dijalankan terdapat tiga individu yang sedang melakukan pemindahan ke lori tangki dengan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai pemandu lori berjaya ditahan, manakala dua lagi individu disyaki warga asing melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati kira-kira 14,000 liter cecair diesel berada di dalam lori tangki tersebut selain enam tangki IBC ditemui dalam sebuah lagi lori,” katanya.
Beliau berkata KPDN turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di kawasan Simpang Ampat yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan diesel sebelum dipindahkan ke lori tangki berkenaan.
Jegan berkata hasil operasi itu, keseluruhan pihaknya menyita sebuah lori kanvas 14 tan, sebuah lori tangki 24,000 liter, 12 unit tangki IBC, tiga motor pam, tiga hos getah dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran nilai RM200,000.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA