Skip to main content

Malaysia

KPDN sita 190 tong LPG di Kajang

Foto: Astro AWANI
Azman berkata premis di Kajang itu didapati tidak memiliki lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan.

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 190 tong gas petroleum cecair (LPG) dan sebuah lori dengan anggaran nilai rampasan RM83,116 dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kajang, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata serbuan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya pada 9 Feb susulan risikan berhubung kewujudan premis disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Advertisement

“Premis berpagar zink itu berkunci sebelum pasukan serbuan berjaya memasuki kawasan tersebut. Pemeriksaan menemukan sebuah lori Daihatsu membawa 110 tong LPG jenama BHP berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 80 tong LPG 14 kg serta 50 kg di kawasan pelantar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata siasatan awal mendapati bekalan itu diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih namun pemeriksaan mengesahkan premis di Kajang tidak memiliki lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan.

Beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki dan perempuan warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori dan kereta bagi membantu siasatan. 

Azman berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama-sama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pihak didapati melanggar perundangan. Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun manakala denda maksimum RM2 juta terhadap syarikat bagi kesalahan pertama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video