HARGA modul RAM bagi penghala, gerbang internet (gateway) dan set kotak (STB) meningkat lebih 600 peratus dalam tempoh setahun susulan lonjakan permintaan daripada sektor pelayan kecerdasan buatan (AI).
Laporan terbaharu oleh Counterpoint Research menunjukkan modul DRAM dan NAND untuk peranti pengguna seperti penghala dan STB kini mengalami peningkatan harga hampir tujuh kali ganda sejak sembilan bulan lalu, dengan kenaikan dijangka berterusan sekurang‑kurangnya sehingga Jun 2026.
Advertisement
Kenaikan mendadak ini turut menyaksikan sumbangan kos memori terhadap jumlah kos bahan (BOM) bagi penghala kelas rendah dan pertengahan meningkat kepada lebih 20 peratus berbanding sekitar 3 peratus setahun lalu.
Peningkatan itu menjejaskan pengeluar kecil yang tidak mempunyai kuasa rundingan dan bekalan terjamin, sekali gus menimbulkan tekanan terhadap penyedia perkhidmatan internet yang merancang peluasan rangkaian pada tahun ini.
Penganalisis menjelaskan bahawa peningkatan harga RAM bukan disebabkan permintaan pusat data terhadap modul DDR4, tetapi kerana pengeluar kini mengutamakan pengeluaran memori maju seperti HBM dan DDR5 yang memberikan margin keuntungan jauh lebih tinggi.
Bekalan untuk RAM DDR4 yang digunakan dalam penghala dan STB menjadi semakin terhad, menyebabkan harga meningkat melampaui jenis memori pengguna lain.
Kenaikan kos dijangka mengubah strategi pemasangan dan langganan oleh penyedia internet, termasuk pemberhentian promosi pemasangan percuma dan penyediaan STB percuma kepada pelanggan baharu.
Walaupun harga langganan internet bulanan dijangka kekal, pelanggan mungkin perlu menanggung kos awal lebih tinggi untuk peralatan.
Dalam masa sama, analisis industri turut memberi amaran bahawa penyedia rangkaian perlu memantau rapat dinamik harga memori ini kerana ia berpotensi melambatkan pelaksanaan jalur lebar baharu. -Amanz