PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Op Tiris khususnya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari Aktiviti Haram (AMLATPUAA) 2001 (Akta 613) diteruskan dengan beberapa aspek penambahbaikan akan dilakukan.

Op Tiris dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata masih berlaku penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pengusaha stesen minyak sehingga mengakibatkan kerugian kepada pihak kerajaan.

"Kita berpandangan bahawa sehingga mana Ops Tiris ini berjaya membuahkan sesuatu yang positif dan capai sasaran untuk mengurangkan penyelewengan (diesel), kita akan teruskan," katanya dalam sidang media berhubung penguatkuasaan AMLATPUAA 2001 bagi tahun 2023 di sini hari ini.

Untuk rekod, penyelewengan minyak diesel bersubsidi bagi 500,000 liter dan ke atas adalah melibatkan penguatkuasaan Akta 613, manakala penyelewengan diesel dengan jumlah liter yang lebih rendah adalah tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman berkata pada tahun 2023, terdapat 877 kes di bawah Ops Tiris melibatkan Akta 613 yang membabitkan nilai sitaan berjumlah 6.44 juta liter diesel bernilai RM14.21 juta, manakala nilai rampasan selain diesel seperti kenderaan, peralatan seperti hos dan tangki pula sebanyak RM42.13 juta.

"Di bawah penguatkuasaan Akta 613 bagi 2023, sebanyak RM1.7 juta nilai kompaun telah ditawarkan dan dijelaskan, manakala sebanyak RM137,517.69 nilai harta alih telah dilucuthakan dan dijadikan hasil kerajaan," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil kerajaan daripada kes yang telah dikenakan tindakan pelucuthakan tanpa pendakwaan dan menerusi pengkompaunan.

-- BERNAMA