KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak pernah melantik orang tengah atau ejen untuk memudahkan proses mendapatkan khidmat serta produk kementerian termasuk lesen jualan langsung.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata pihaknya telah menerima aduan wujud pihak tidak bertanggungjawab menipu dan memperdaya usahawan dengan mendakwa mereka adalah perunding atau orang tengah yang dilantik KPDNHEP untuk tujuan itu.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima satu aduan berhubung kes berkenaan yang menyebabkan kerugian kira-kira RM15,000.

“Kita di kementerian tidak melantik sebarang ejen untuk mendapatkan apa-apa permit atau kelulusan sama ada melalui francais, MLM atau apa saja yang berkaitan dengan kementerian.

“Kalau ada, sila lapor segera kepada pihak berkuasa kita ataupun terus di talian bebas tol, ataupun WhatsApp, ataupun jumpa dengan saya untuk mendapat penjelasan supaya tidak tertipu,” kata Rosol.

Beliau berkata, orang ramai khususnya para usahawan baharu diingatkan agar tidak terpedaya dengan cubaan pihak tertentu yang menggunakan nama KPDNHEP bagi mengaut keuntungan mudah menerusi helah penipuan seumpamanya.

Katanya, sebarang urusan untuk proses mendapatkan lesen jualan langsung atau khidmat dan produk ditawarkan KPDNHEP untuk membantu golongan usahawan mestilah melalui saluran rasmi di kementerian dan bukan melalui perunding atau orang tengah.

Jelasnya, KPDNHEP mempunyai jumlah pegawai dan kakitangan yang mencukupi untuk mengendalikan urusan seperti prosedur mendapatkan lesen perniagaan jualan langsung mahupun mempromosi khidmat dan produk kementerian.

Rosol turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memperdaya orang ramai dengan menyalahgunakan nama KPDNHEP sehingga menyebabkan kerugian belasan ribu ringgit kepada mangsa.

Justeru, mana-mana individu yang terpedaya atau menjadi mangsa penipuan ini diminta tampil membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP bersama bukti lengkap serta membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil.