ALOR GAJAH:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menimbang untuk menaik taraf status Bahagian Penguatkuasanya menjadi sebuah jabatan, selaras dengan tanggungjawab yang dipikul.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu akan diperhalusi sebelum dibentang kepada kerajaan.

"Mereka juga sebahagian daripada barisan hadapan COVID-19. Walaupun penguat kuasa KPDNHEP tidak kelihatan di sekatan jalan raya, mereka sentiasa menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan, peruncit, pemborong dan pengilang untuk memastikan tiada pembelian panik pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan dan memastikan bekalan keperluan asas mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNHEP ke-48 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman, di sini hari ini.

Untuk rekod, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP bertanggungjawab terhadap 12 akta, antaranya Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengulas lanjut, Nanta berkata terdapat keperluan untuk menambah anggota Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sedia ada yang kini berjumlah 2,274 orang berdasarkan beban kerja dan kes yang perlu diselesaikan.

Menurutnya kemahiran anggota dari segi teknologi, sains dan forensik serta kekuatan fizikal seperti seni mempertahankan diri juga akan dipertingkat agar mereka dapat mengharungi cabaran kerja dengan baik.

"Antara cabaran yang dihadapi ialah perkembangan medium jualan dalam talian atau e-dagang yang kini menjadi pilihan penjual dan pembeli menjalankan transaksi jual beli dan ilmu serta kemahiran menyelesaikan kes melibatkan sektor ini perlu dipertingkat," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan 12 Anugerah Kecemerlangan Penguat Kuasa KPDNHEP 2019 antaranya Anugerah Keseluruhan Terbaik yang dimenangi KPDNHEP Melaka.

-- BERNAMA