Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan 3.5 juta pemeriksaan ke atas syarikat pembekal di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 16 syarikat telah dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Ops Catut).

"Di Pulau Pinang sebanyak 18 kes dilaporkan di bawah akta ini ke atas syarikat pembekal melibatkan pelbagai kesalahan.

Ini termasuk mengenakan harga barangan yang tinggi, gagal menyimpan dan menyelenggarakan rekod berhubung barang kendalian serta tidak mempamerkan caj perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Jualan Kembali Ke Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2015 di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDNKK tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana syarikat pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.

Basaruddin berkata KPDNKK akan menjalankan pemeriksaan berterusan terhadap syarikat-syarikat berkenaan sebagai usaha komited membanteras kes-kes seumpama itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Basaruddin menyeru lebih banyak syarikat swasta dan peniaga lain tampil untuk menyertai Kempen Jualan Ke Sekolah secara tidak langsung bagi membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi domestik negara.

Katanya, kempen yang bermula dari 22 November 2015 hingga 3 Januari 2016 itu meliputi potongan harga ke atas 50 produk termasuk pakaian seragam, kasut, alat tulis, bekas minuman dan makanan untuk kegunaan anak-anak ke sekolah.

"Kerajaan sentiasa mencari inisiatif meringankan beban rakyat dengan melancarkan kempen penurunan harga yang disertai pelbagai syarikat peruncit tempatan dan juga pasar raya besar asing.

"Penyertaan daripada syarikat dibuat secara sukarela dan kerajaan melihat kerjasama ini sebagai tanda sokongan mereka dalam membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa ekoran tuntutan perbelanjaan yang semakin tinggi pada masa kini di Pulau Pinang," katanya.

Pada majlis kerjasama KPDNKK, Pasar Raya Sunshine dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang itu, 51 kanak-kanak dipilih untuk menerima sumbangan beg sekolah serta baucar bernilai RM100 setiap seorang.

Basaruddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Bakti Kepala Batas Pulau Pinang serta menyampaikan bunting kepa