KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang sering turun padang dan melawat pintu masuk utama negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Beliau adalah seorang Menteri Besar yang peka dan berani memberi teguran supaya sesuatu masalah dapat diselesaikan di peringkat jabatan dan juga kementerian.

KPISM terhutang budi terhadap khidmat bakti yang dicurahkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor.

Kami di peringkat kesatuan sekerja dan selaku wakil suara pegawai imigresen, sanjung tinggi usaha ini serta sentiasa sealiran dengan kerajaan agar setiap penambahbaikan dan dasar semasa dapat membawa manfaat kepada rakyat.

Dengan wujudnya “Task Force” Kesesakan Lalulintas di BSI dan KSAB yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor merupakan satu gerak kerja yang padu serta signifikan dalam memastikan kelancaran aliran trafik di pintu masuk selatan tanah air sekali gus memberi limpahan impak ekonomi kepada negeri Johor khususnya dan Malaysia secara amnya.

Insiden terbaharu adalah lawatan YAB Dato’ Menteri Besar Johor ke BSI pada hari Ahad, 24 Mac 2024 jam lebih kurang 11.20 pagi dan beliau dapati ada sebilangan kecil kaunter ditutup, serta perkara ini kecoh di media sosial.

KPISM dimaklumkan pada ketika itu, pegawai sedang dalam giliran untuk rehat selepas waktu puncak dan ada pegawai yang perlu melaksanakan urusan pentadbiran yang kebiasaannya dilakukan
pada luar masa puncak.

Waktu puncak biasa adalah dari jam 4 pagi sehingga jam 9 pagi dan dari 5 petang sehingga 9 malam. KPISM melihat perkara ini adalah rutin biasa dan tiada kesesakan yang luar biasa berlaku disebabkan insiden terkini.

KPISM sentiasa berhubung rapat dengan pegawai yang bertugas di pintu masuk utama negara terutamanya BSI yang juga merupakan antara pintu masuk tersibuk di dunia.

Kita semua sedia maklum bahawa pegawai imigresen bertugas dalam keadaan yang tertekan kerana terpaksa melayan pelbagai kerenah dan kecaman.

Oleh itu pihak kesatuan sentiasa memberi sokongan moral yang padu pada mereka agar terus
gigih berkhidmat untuk negara.

Meskipun di negeri Johor terdapat pelbagai isu rakyat yang perlu diselesaikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor seperti rumah rakyat Johor, kesesakan lalu lintas di bandaraya Johor Bahru, kekurangan barangan subsidi seperti minyak peket dan beras tempatan, bekalan air yang sentiasa terputus di daerah-daerah, isu
perparitan di kawasan pendalaman, kawasan rendah yang mudah banjir serta pelbagai lagi isu rakyat yang menyentuh golongan B40.

Saya yakin banyak lagi kawasan kampung yang belum sempat YAB Dato’ Menteri Besar Johor turun padang
dan lawat serta menjiwai kesusahan mereka, namun kesesakan lalulintas di BSI dan KSAB tetap diberikan keutamaan.

Saya mohon sedikit perhatian juga dapat diberi kepada isu Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Skudai ke Ayer Hitam yang sentiasa sesak kerana hanya mempunyai dua laluan sahaja berbanding tiga laluan dan empat laluan di baki lebuh raya sehingga ke Kuala Lumpur.

KPISM dan JIM sentiasa bersama dalam memastikan kebajikan pegawai terbela dan dipelihara meskipun tugasan yang semakin mencabar saban hari sebagai penjawat awam.

KPISM sentiasa berganding bahu dengan CUEPACS dalam memastikan pengurusan skim perkhidmatan dan kebajikan yang baik terhadap penjawat awam yang menjadi tulang belakang dalam penyampaian sistem dan dasar-dasar kerajaan.

KPISM sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada terhadap mana-mana individu atau orang berkepentingan berhubung teguran yang diberikan kepada pegawai imigresen dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.


AJEET SINGH A/L GURBAX SINGH
PRESIDEN KPISM