KUALA LUMPUR: Pengilang padi zon utara bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20 peratus dan memberikannya kepada kerajaan melalui Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), usaha itu merupakan langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan BPT di pasaran.

"Melalui sesi libat urus bersama pihak industri pengilang padi dan pemborong beras zon utara pada 27 Ogos 2023 bertempat di Alor Setar, pihak pengilang padi telah bersetuju untuk memberikan tambahan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Bernas.

"Melalui Program Khas BPT ini juga, pihak Bernas akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara.

"KPKM berharap dengan langkah intervensi ini, bekalan BPT akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT di pasaran," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, KPKM berkata, sehingga kini, BPT masih kekal pada harga kawalan RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 dan ia adalah harga terendah di rantau ini.

Selain itu, KPKM akan turut mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM Bersama Dengan Pemain Industri atau Pihak Berkepentingan di Bawah Subsektor Padi pada 7 September 2023 di MAEPS Serdang, Selangor.

"Antara tujuan sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri untuk meningkatkan pengeluaran BPT.

"Dalam masa yang sama, pemantauan berterusan di seluruh negara melalui kolaborasi bersepadu antara Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM dan Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Operasi Jamin (OP JAMIN) sejak 1 Julai 2023 adalah masih berterusan dalam meningkatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi," ujarnya.

KPKM juga katanya telah melancarkan Operasi Beras Putih (OP BPT) bermula 16 Ogos lalu bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras seluruh negara.

"Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522], KPKM melalui kuasa Ketua Pengarah KPB berhak untuk membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan," katanya.

Katanya, sebarang maklumat atau aduan berhubung isu kekurangan bekalan BPT di pasaran boleh diajukan kepada KPB, KPKM di Portal Aduan KPB: https://skpb.kpkm.gov.my/adu, E-mel Rasmi ([email protected]) atau Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya : 03-88701751/1748/1183.