KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan terdapat penetapan kadar pemutuan minimum sebanyak 20 peratus terhadap jualan padi pesawah, sambil menegaskan bahawa potongan dibuat berdasarkan kualiti sebenar hasil tuaian.
Kadar pemutuan merujuk kepada peratusan potongan berat padi yang dibuat oleh kilang atau pembeli kerana kehadiran bendasing, padi hampa, padi rosak, kelembapan berlebihan atau faktor kualiti lain.
KPKM memaklumkan kadar pemutuan bergantung sepenuhnya pada kualiti fizikal padi ketika jualan dilakukan, termasuk tahap kelembapan, jumlah padi muda dan rosak serta kandungan kotoran atau bendasing.
"Sekiranya padi yang dihantar berada pada tahap kualiti yang optimum, kadar potongan yang dikenakan adalah jauh lebih rendah bersesuaian dengan standard yang ditetapkan," menurut kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
Susulan kebimbangan pesawah tentang kadar potongan pemutuan, KPKM menerusi Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB) peringkat negeri telah menggerakkan operasi pemantauan khas secara berjadual di seluruh negara sejak 14 Sept lepas.
"Tindakan proaktif ini dikuatkuasakan berikutan musim tuaian padi yang kini sedang rancak berlangsung di beberapa buah negeri dan operasi pemantauan ini akan terus diperluas ke negeri lain yang bakal memulakan proses penuaian dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan setiap kilang mematuhi tatacara pemutuan dengan telus, adil dan berintegriti.
Menurut kementerian tersebut, penilaian pemutuan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan tahap kualiti fizikal padi yang dihantar pesawah kepada Pelesen Membeli Padi atau Kilang Padi Komersial.
KPKM memaklumkan Kaedah Pemutuan Sebenar Padi telah dikeluarkan sejak 2017 berlandaskan Piawaian Spesifikasi dan Penggredan Padi (MS 84: 2017) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh semua kilang padi termasuk Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan swasta.
Menurut KPKM, pelaksanaan SOP berkenaan bertujuan memastikan keseragaman tafsiran di seluruh negara, selain melindungi pesawah daripada ketidakadilan.
"Pemakaian SOP ini juga amat penting untuk memastikan pesawah menerima Subsidi Harga Padi yang tepat berdasarkan kualiti dan hasil sebenar yang bersih, di samping mengelakkan sebarang ketirisan dana awam," menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan memandang serius isu pemutuan kerana kadar yang tinggi bukan sahaja boleh menjejaskan pendapatan pesawah, malah turut berpotensi mengganggu keseimbangan keseluruhan ekosistem industri padi dan beras negara.
KPKM turut menegaskan bahawa usaha menangani isu pemutuan serta memperkasakan industri beras tempatan memerlukan kerjasama semua pihak dalam ekosistem berkenaan, dengan kebajikan pesawah terus menjadi keutamaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
-- BERNAMA