JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengarahkan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) untuk melaksanakan penambahbaikan segera terhadap kerja-kerja pembersihan di flat kos rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), di sini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata KPKT amat komited dalam menyelesaikan masalah tersebut dan akan bekerjasama dengan penduduk, pihak pengurusan bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri, bagi menambah baik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan khususnya di Johor.

Beliau berkata sebanyak 10 jentera Roll On-Roll Off (RoRo), tiga jentolak dan lori kompaktor telah digerakkan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan serta kutipan sisa pepejal melibatkan 50 anggota di sekitar kawasan flat berkenaan, setakat semalam.

"Dianggarkan sebanyak 90 tan longgokan sisa pukal telah dikutip dan dilupuskan ke tapak pelupusan selain 50 tong sampah beroda (TSB) telah ditukar serta 449 TSB dibaik pulih bagi kesemua 88 blok di flat tersebut.

"Selain itu, (kerja-kerja) pembersihan turut meliputi pemotongan rumput dan pembersihan longkang-longkang tersumbat yang terdapat di sekeliling kawasan flat TUTA, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga bagaimanapun berkata isu kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan setiap kumpulan masyarakat perlu memainkan peranan, terutamanya mereka yang tinggal di rumah pangsa serta berkongsi kemudahan awam yang disediakan oleh PBT termasuk perkhidmatan sisa pepejal.

"Kementerian menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) terhadap kualiti kebersihan dan persekitaran yang selesa demi kepentingan rakyat.

"Justeru, jawatankuasa penduduk juga perlu bersedia menggembleng tenaga memupuk semangat kejiranan yang tinggi serta rasa tanggungawab untuk memelihara persekitaran yang bersih dan selamat," katanya dan menambah hanya 15 peratus caj penyelenggaraan berjaya dikumpul sementara 10 blok lagi tidak mempunyai jawatankuasa penduduk.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut mengambil maklum mengenai keperluan penyelenggaraan TUTA yang dirancang termasuk mengecat bangunan blok flat, menaik taraf pengairan dan saliran secara berfasa, membaiki sistem pendawaian, penyelenggaraan sistem perparitan yang sedia ada serta pengindahan landskap, yang dianggarkan berjumlah RM26.3 juta.

"Sebagai tindakan jangka panjang bagi mengekalkan tahap kualiti kebersihan di flat TUTA, KPKT akan mengadakan beberapa siri libat urus dengan mewujudkan kerjasama bersama Perbadanan Pengurusan (MC) dan penduduk, bagi pelaksanaan program pendidikan masyarakat dan kesedaran awam berkaitan pengurusan sisa secara mapan, program pengasingan sisa di punca, 3R (Reduce (Kurangkan)- Reus (Guna Semula) - Recycle (Kitar Semula), program kitar semula berganjaran serta mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi proses pelupusan sisa pukal.

"KPKT juga akan memastikan pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan bagi penduduk dan orang awam yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada, berkaitan kaedah pelupusan sisa pepejal yang dijana dan kebersihan kawasan awam, " katanya.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah atau flat awam di negeri itu.

-- BERNAMA