Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan caj penyenggaraan perumahan berstrata dimasukkan di dalam cukai taksiran yang dikutip Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah bayaran tertunggak.

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pihak PBT selain mendapatkan pandangan daripada exco perumahan negeri di seluruh negara.

Beliau berkata Badan Pengurusan Bersama (JMB) sering menghadapi masalah dalam mengutip bayaran penyenggaraan daripada penghuni sejak Akta Pengurusan Strata 2013 diperkenalkan.

"Jika boleh (dimasukkan di dalam cukai taksiran), tetapi ia memerlukan kajian lebih mendalam bagi mencari kaedah sesuai.

"Kita mahu tanamkan budaya apabila tinggal di satu tempat, mestilah ada rasa tanggungjawab untuk menjaga tempat masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Badan Pengurusan Strata di sini, pada Sabtu.

Pada majlis itu, Noh turut mengadakan sesi 'townhall' dengan kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada wakil JMB, Perbadanan Pengurusan (MC) dan Pesuruhjaya Bangunan Pihak Berkuasa Tempatan (COB).

Mengenai cadangan peserta konvensyen supaya pembayaran meter air pukal dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi meringankan beban mereka, katanya beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Kabinet.

Mengenai keselamatan dan kebakaran di perumahan strata, beliau menyeru agar semua kawasan perumahan menubuhkan pasukan Bomba Komuniti sebagai langkah pencegahan awal dapat diambil jika berlaku sebarang kebakaran.

"Banyak tempat saya tengok ciri keselamatan untuk mencegah kebakaran memang habis, gelung paip bomba hilang, kepala paip hilang, lif pun teruk. Jadi, ini satu langkah yang kita hendak lihat," katanya.

Noh berkata penubuhan pasukan Bomba Komuniti juga merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan untuk jawatankuasa perwakilan penduduk (JPP).

-- BERNAMA