JITRA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran kepada pihak pengurusan sekolah di seluruh negara untuk tidak menyembunyikan mana-mana kes COVID-19 membabitkan pelajar, guru dan staf pengurusan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapati mana-mana sekolah di bawah KPM melakukan perbuatan itu.

Beliau bagaimanapun, memaklumkan, sehingga kini, belum ada mana-mana sekolah yang menyembunyikan maklumat mengenai penularan wabak itu.

Dalam masa sama, Radzi berkata, KPM melakukan pemantauan yang amat ketat dalam konteks mengenal pasti mana-mana sekolah yang cuba menyorok kes jangkitan COVID-19.

"(Selepas ini) kalau kita dapati (ada kes seperti itu), tindakan tegas akan diambil, kerana dalam konteks sistem pelaporan KPM, setiap (insiden atau kes) yang berlaku perlu dilaporkan segera (termasuk kes COVID-19), (ini) supaya kita tahu apa (yang) akan kita dapat lakukan (dalam tempoh segera),

"Sebagai contoh di Sekolah Seri Puteri (SSP), saya telah turun ke situ dua kali untuk meneliti pendekatan terbaik, untuk uruskan isu berkaitan penularan kes dalam kalangan pelajar di situ (jadi amat penting) untuk mana-mana sekolah dibawah KPM (untuk) laporkan segera," kata Radzi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital-AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai perkembangan kes COVID-19 di Sekolah Seri Puteri, Radzi memaklumkan, KPM telah menghantar pelajar tingkatan lima untuk menjalani proses kuarantin bagi meminimumkan penularan kes di sekolah itu.

"(Mengenai) kes COVID-19 di SSP (bagi) peringkat pertama, murid tingkatan lima telah dihantar ke Institut Aminudin Baki untuk proses kuarantin... (selain itu, sebilangan) murid (yang lain) turut dihantar ke Institut Latihan Islam Malaysia,

"Alhamdulillah kita lihat pendekatan yang diambil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di situ dalam memastikan anak-anak pelajar ini dapat berada dalam keadaan selamat selain dapat dikuarantin dengan baik agar kita dapat meminimumkan penularan kes daripada berlaku dengan lebih banyak," jelas beliau lagi.