KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tetap dengan keputusan untuk memindahkan mana-mana guru yang degil untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan bersemuka tidak terganggu.

"Guru yang enggan divaksin tanpa mendapat pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan dan menyebabkan gangguan kepada operasi sekolah akan dipindahkan.

"Tindakan untuk memindahkan guru terpaksa dilaksanakan untuk pastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid tidak tergugat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata, langkah yang diambil kementeriannya itu juga selari dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan semua penjawat awam mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Sebelum ini dilaporkan, kira-kira 2,500 guru di seluruh negara enggan divaksinasi.