KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) optimis proses ujian saringan secara kendiri menggunakan ‘saliva test’ di sekolah dapat dilaksanakan secara berterusan dan lebih teratur pada minggu-minggu akan datang.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, berdasarkan pemerhatiannya di Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 3 pada Rabu, beliau mendapati kebanyakan pelajar dilihat sudah biasa menggunakan kit ujian itu.

Menurutnya, pelajar juga dilihat sudah mula memahami kaedah dan tatacara pelaksanaan proses saringan itu di sekolah.

“Ujian kendiri menggunakan ‘test kit’ air liur dalam kalangan 10 peratus murid yang hadir ke sekolah pada minggu ini. Daripada maklumat pihak sekolah, kita dapati sebahagian besar mereka pernah menggunakan kit ujian air liur ini di rumah.

“Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik. Pelajar dapat mematuhi arahan yang telah diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah.

“Kita yakin proses ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya sehingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Disember ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di sekolah berkenaan.

Bermula Isnin lepas, pelajar sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan.

Sementara itu, dalam tinjauan itu juga, Radzi secara kebetulan bertemu dengan seorang guru yang baru sahaja mendaftar di sekolah berkenaan yang merupakan calon daripada pengambilan guru secara ‘one-off’ seperti diumumkan sebelum ini.

“Guru ini merupakan seorang daripada kumpulan pertama dalam fasa pertama pengambilan 'one-off' guru seramai 18,702 orang. Hari ini merupakan hari pertama untuk kumpulan dalam fasa pertama ini melaporkan diri di sekolah masing-masing.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat proses pengambilan untuk 18,702 orang secara ‘one-off’ ini berjalan dengan teratur.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan kerana telah melaksanakan pengambilan ini. Kami telah bekerjasama rapat bagi memastikan pengambilan ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur,” ujarnya.