BENTONG: Kementerian Pendidikan (KPM) memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan sekolah model khas bagi golongan B40 dan miskin tegar di negara ini.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata model khas tersebut telah ada, namun perlu ditambah baik dalam memastikan ia dapat membantu melonjakkan pelajar daripada golongan sasar dalam bidang akademik dengan mengambil kira potensi dan bakat pelajar terlibat.

Beliau berkata sekolah model khas itu juga adalah tambahan kepada sekolah model khas sedia ada iaitu Sekolah Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11).

"Kita ada model khas K9 dan K11 dan kita sedang lihat satu lagi model khas yang telahpun ada tetapi kita kena tingkatkan, khususnya untuk segmen pelajar B40 dan mereka yang miskin tegar supaya kita dapat memberi tumpuan dan membantu melonjakkan anak-anak kita dalam bidang akademik dari segi potensi dan bakatnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus berkaitan hala tuju 12 sekolah di tiga gugusan Felda di Pelangai yang merangkumi Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Sungai Kemahal di sini hari ini.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan, berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

Fadhlina berkata KPM akan memastikan tiada anak-anak yang dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara dan segala perancangan dipastikan benar-benar memberikan manfaat kepada mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata KPM akan mengangkat saranan dan pandangan yang disampaikan dalam sesi libat urus seperti yang diadakan hari ini untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran di sekolah dalam tanah rancangan Felda di seluruh negara.

"Kita akan cuba kumpulkan semua pandangan dan kita akan dapat ketahui kemahuan anak-anak...akan diambil tindakan selepas dikumpulkan semua saranan dan pandangan oleh pihak Bahagian Dasar KPM," katanya.

Antara perkara yang telah dibangkitkan oleh wakil pelajar, ibu bapa dan guru pada sesi hari ini termasuk isu kekurangan bilik darjah, penyediaan kemudahan dan peralatan pembelajaran serta jaringan Internet di sekolah.

Menurut Fadhlina terdapat sejumlah 371 sekolah di kawasan Felda di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 269 adalah sekolah rendah manakala 102 adalah sekolah menengah, termasuk sebuah sekolah model khas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok di Terengganu.

-- BERNAMA