Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyangkal dakwaan Persatuan Kontraktor Sisa Pepejal dan Pembersihan Kuantan (Kosppem) bahawa 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan kehilangan pekerjaan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, KPM berkata pihaknya sentiasa mengkaji syarat dan kriteria tender bagi memastikan Kementerian, khususnya pihak sekolah, mendapat perkhidmatan yang terbaik selaras dengan dasar mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan semasa.

"KPM menambah baik format tender tahun 2019 dengan mengambil kira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan tandas yang terdapat di setiap sekolah berbanding norma terdahulu yang hanya mengambil kira kemasukan pelajar dan keluasan bangunan.

"KPM juga menegaskan penyertaan kontraktor dalam tender-tender adalah mengikut harga yang ditawarkan dengan spesifikasi yang telah ditetapkan dan bukan bertujuan mengurangkan pekerja-pekerja yang digunakan oleh syarikat yang memperoleh tender kontrak.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan untuk memastikan kebajikan pekerja mereka terus terjamin dan terpelihara," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah berisiko hilang kerja jika KPM melaksanakan format tender baharu tahun ini.

Yang Dipertua Kosppem, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad dilaporkan berkata, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.