KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan sebanyak 1,514 bilik darjah tambahan bagi menampung peningkatan kemasukan murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, persediaan itu termasuk penyediaan bilik darjah baharu yang sudah siap atau masih dalam proses pembinaan di seluruh negeri.
Beliau berkata, kesiapsiagaan kementerian turut mengambil kira keperluan dari aspek guru, prasarana dan peruntukan bagi memastikan peningkatan jumlah murid dapat ditangani dengan baik.
“Berkaitan dengan isu sama ada kita mampu untuk menangani kemasukan (murid) yang meningkat, saya ingin nyatakan bahawa dari segi kesiapsiagaan kita, dari segi kemudahan dan penyelesaian, kita bersedia.
“Namun demikian, apabila kita nampak trend peningkatan, perkara ini memang kita beri perhatian,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun yang meminta Timbalan Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang telah mendaftar ke Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027 berbanding anggaran 439,744 orang berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.
Aminuddin turut meminta penjelasan mengenai kesiapsiagaan KPM dari segi guru, bilik darjah, prasarana dan peruntukan bagi menampung 471,504 kanak-kanak berusia tujuh tahun yang wajib memasuki Tahun 1.
Kah Woh berkata, daripada keseluruhan 1,514 bilik darjah tambahan yang disediakan, pembahagiannya dibuat berdasarkan keperluan dan taburan penduduk di setiap negeri.
“Yang paling tinggi adalah di Selangor, di mana peruntukannya lebih kurang RM108.89 juta. Yang lain dibahagikan berdasarkan penduduk dan keperluan,” katanya.
"KPM juga terus memantau trend peningkatan kemasukan murid bagi memastikan kapasiti sekolah dapat ditambah mengikut keperluan," kata beliau lagi.