KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan membaiki atau membina semula sekolah daif yang merekodkan tahap kerosakan pada skala enam dan tujuh berdasarkan analisis skor gred impak dilaksana kementerian.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, skala enam merujuk kepada bangunan yang yang tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal pejabat pendidikan daerah (PPD) atau jabatan pendidikan negeri (JPN).

Manakala skala tujuh pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Keutamaan KPM adalah kepada bangunan yang berada pada skala enam dan skala tujuh untuk dinaik taraf atau dibina bangunan gantian mengikut keperluan.

“Pembinaan bangunan gantian ini dilaksanakan secara berfasa melalui peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat bagi setiap Rolling Plan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“Walau bagaimanapun kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap persoalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berkaitan pembaharuan yang bakal dilakukan bagi menangani isu sekolah daif di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata agenda berkaitan pembangunan sekolah daif menjadi salah satu daripada Tujuh Teras Utama KPM.

“Untuk itu, KPM akan memberi keutamaan dalam usaha menangani sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh negara.

“Ini juga menyahut seruan Perdana Menteri untuk KPM memberi tumpuan kepada usaha ubah suai dan naik taraf bangunan sekolah yang daif terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Komitmen menangani sekolah daif akan menjadi tumpuan paling utama,” ujarnya.