MALAYSIA
KPN baharu tekad angkat teknologi AI, teruskan legasi Razarudin

Mohd Khalid semasa Majlis Serah Terima Tugas di PULAPOL hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bertekad untuk memperkasa pasukan keselamatan itu melalui pemodenan teknologi, dengan memberi penekanan khusus terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, AI bakal menjadi tunjang utama dalam usaha membawa PDRM ke tahap lebih cemerlang.
“Saya rasa adalah perlu untuk mengetengahkan teknologi AI agar PDRM menjadi agensi yang lebih ke hadapan serta menangani semua permasalahan yang timbul sama ada dalam bentuk jenayah atau apa sahaja ancaman kepada negara ini.
“Teknologi ini akan membantu menangani sebarang bentuk jenayah dan ancaman yang muncul pada masa akan datang, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini pada Jumaat.Mohd Khalid turut menegaskan, beliau akan meneruskan segala inisiatif yang dirintis oleh pendahulunya, Tan Sri Razarudin Husain, khususnya dalam aspek pemodenan sistem kepolisan, peningkatan keupayaan anggota serta penekanan terhadap keselamatan rentas sempadan.
“Saya yakin akan meneruskan semua tindak-tanduk yang telah dilaksanakan. Ia menjadi ruang dan peluang buat saya untuk memperkukuh kredibiliti pasukan polis dan menyesuaikan gerak kerja dengan landskap keselamatan semasa,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan komitmennya untuk memperkukuh sistem teknologi terkini dalam pasukan termasuk meneruskan cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini.
Mohd Khalid juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan dalam melantik beliau menerajui pasukan keselamatan utama negara itu.
“Saya berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kepercayaan ini.
“Ini adalah satu amanah besar dan saya akan memikulnya bersama rakyat,” katanya.
Pelantikan Mohd Khalid sebagai Ketua Polis Negara ke-15 dibuat secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun 2025 sehingga 22 Jun 2027.
Ia dibuat mengikut Fasal (4) dan (5) Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis serta diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami