Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berpuas hati dengan situasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Hulu Langat termasuk keadaan penduduk yang tenang di kawasan itu.

Menurut Abdul Hamid, anggota polis sebelum itu telah membuat hebahan awal kepada penduduk agar tidak keluar dari rumah sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.

"Saya buat tinjauan sama ada anggota polis telah jalankan sekatan untuk pastikan tiada pergerakan 100 peratus," katanya ketika ditemui di satu sekatan jalan raya di kawasan berkenaan pada Isnin.

Jelasnya lagi, pihaknya sedang menunggu langkah seterusnya yang akan diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan memastikan keadaan di Hulu Langat teratur seperti pelaksanaan PKPD di Simpang Renggam.

"Di Simpang Renggam proses penguatkuasaan teratur dan saya nak lihat keadaan di Hulu Langat yang boleh mencontohi keadaan di Simpang Renggam agar perkara yang sama dilakukan di kawasan ini," katanya lagi.

BACA: 15 Zon Merah COVID-19 di Malaysia, Kepong terbaharu disenarai - KKM

Kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat merupakan penempatan kedua dilaksanakan perintah PKPD selepas Simpang Renggam susulan pengesanan 71 kes positif Covid-19 melibatkan penghuni Madrasah An-Nabawiyyah di kawasan itu.