KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah merangka gerak kerja supaya Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dapat diperkasakan, diberi nafas baharu yang lebih segar, serta pengiktirafan yang sewajarnya oleh kerajaan dan rakyat sebagai entiti yang penting dan inklusif dalam masyarakat.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemerkasaan KRT sebagai Penggerak Masyarakat Progresif merupakan inisiatif terbaharu kementerian untuk memperkukuhkan lagi peranan KRT dalam komuniti di negara ini.

"Dalam merangka inisiatif ini, kementerian meneliti dan mengambil kira rangka kerja dan aspirasi yang terkandung dalam dokumen Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 11 September.

"Di mana pembangunan masyarakat progresif merupakan satu daripada komponen penting inisiatif Anjakan Besar Pembudayaan Masyarakat Madani yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas," katanya ketika berucap Merasmikan Konvensyen Perdana Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan 2023, di Bangi pada Ahad.

Kira-kira 500 peserta menyertai konvensyen tersebut, yang bertemakan “Rukun Tetangga sebagai Penggerak Masyarakat Progresif”.

Program berkenaan diadakan sebagai platform untuk berkongsi amanat dan hala tuju baharu KRT selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkasa KRT sebagai penggerak masyarakat progresif. 

Mengulas lanjut, Aaron Ago berkata melalui Belanjawan 2024, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk memperkasa peranan KRT sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat serta memupuk perpaduan dalam komuniti. 

Jelas beliau, kementerian turut memberi fokus kepada lapan inisiatif bagi memastikan Rukun Tetangga berfungsi sebagai entiti penting dan inklusif serta berupaya membangun masyarakat mampan dan progresif.

"Inisiatif tersebut ialah keselamatan komuniti, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan hidup serta warisan dan budaya.

"Kesemua aspek ini perlu diberi penekanan yang jelas dan perkukuhkan dalam komuniti," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, beliau berkata sejajar dengan cabaran dan keperluan semasa, kementerian turut mengambil langkah untuk membuat semakan dan pindaan kepada Akta Rukun Tetangga 2012.

Katanya, satu bengkel pindaan akta tersebut telah dilaksanakan dan pelbagai cadangan pindaan dibincangkan merangkumi pemanjangan tempoh pelantikan Anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga daripada dua tahun bagi satu penggal kepada tiga tahun, penggantungan keanggotaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan implikasi kepada pihak-pihak yang menghalang tugas SRS.