BUKIT MERTAJAM: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan bakat yang mampu mencipta teknologi serta menerajui inovasi masa depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, langkah itu penting berikutan perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet benda (IoT), automasi pintar, pengkomputeran awan dan keselamatan siber.
“Teknologi bukan lagi sekadar alat yang memudahkan kehidupan, malah menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, peningkatan produktiviti, penciptaan peluang pekerjaan baharu dan daya saing negara.
“Oleh itu, pendidikan STEM dan TVET mesti terus diperkasakan secara agresif. Kita mahu melahirkan modal insan yang bukan sahaja adaptif terhadap teknologi, tetapi mampu menjadi pencipta teknologi dan peneraju inovasi masa depan,” katanya ketika berucap pada Karnival Inovasi dan Eksplorasi STEM Politeknik dan Kolej Komuniti (KIES@POLYCC) 2026 di Politeknik Seberang Perai, di sini, pada Rabu.
Aminuddin berkata, KPT komited memperkukuh TVET sebagai antara pemacu utama pembangunan negara selaras Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat masa depan berteraskan inovasi, pendigitalan, kelestarian serta kerjasama strategik dengan industri.
Dalam pada itu, beliau berkata, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) berperanan melahirkan lulusan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, digital dan insaniah, selain berdaya inovasi.
“TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan pendidikan utama yang terbukti melahirkan tenaga kerja profesional dan kompeten bagi memenuhi kehendak industri global,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, KIES@POLYCC 2026 bukan sekadar pertandingan atau pameran, sebaliknya platform pembelajaran interaktif yang memberikan pengalaman sebenar kepada peserta untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi secara praktikal.
Beliau berkata, setiap aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, malah menggilap kebolehan peserta dalam aspek komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta penyelesaian masalah yang amat diperlukan dalam alam pekerjaan.
Katanya, penglibatan aktif pelajar sekolah dan warga POLYCC dalam program itu membuktikan budaya inovasi perlu dipupuk sejak awal bagi memastikan negara terus mempunyai bakat berkaliber untuk memimpin kemajuan teknologi.
KIES@POLYCC 2026 menghimpunkan 1,020 pelajar daripada 28 sekolah rendah dan 22 sekolah menengah di Pulau Pinang serta 20 institusi POLYCC dari seluruh negara, selain 59 peserta antarabangsa daripada tiga institusi pendidikan di Indonesia.
Karnival sehari itu menampilkan 14 aktiviti dan pertandingan berteraskan AI, robotik, dron, pengekodan, percetakan 3D, kejuruteraan dan inovasi, selain turut mengetengahkan Global AI Innotech 2026.
-- BERNAMA