Skip to main content

Malaysia

KPT lancar PSKG 2026-2030 perkukuh kebolehpasaran graduan selaras keperluan industri

Sumber: Shahir Omar
Zambry berkata pelan tersebut dibangunkan hasil kerjasama menyeluruh dalam ekosistem KPT serta kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam penyediaan tenaga kerja negara. - Foto/ Astro AWANI/ Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 sebagai hala tuju baharu dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi, pemain industri dan pelbagai kementerian berkaitan pada Khamis. 

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pelan tersebut dibangunkan hasil kerjasama menyeluruh dalam ekosistem KPT serta kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam penyediaan tenaga kerja negara. 

Menurut beliau, antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan graduan selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

"Kita sentiasa menyediakan ruang supaya sistem sedia ada mempunyai keanjalan untuk dirombak dan disesuaikan berdasarkan keperluan pasaran itu sendiri.

"Secara keseluruhannya, perancangan yang dilaksanakan telah berjalan dengan baik, namun dari semasa ke semasa kita perlu membuat semakan terhadap perubahan keperluan pasaran dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran PSKG 2026-2030 dan Penyampaian Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bersempena Persidangan Kebolehpasaran Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (PKGKPT) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang terus diperkasakan menerusi pelan strategik itu ialah program peningkatan kemahiran (upskilling) bagi memastikan graduan memiliki kompetensi yang diperlukan oleh industri.

Tambah beliau, walaupun graduan mempunyai asas yang kukuh dalam bidang masing-masing seperti kejuruteraan, terdapat keperluan untuk memberi penekanan kepada kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan kehendak industri semasa.

Sehubungan itu, katanya, KPT memperluas kerjasama dengan pemain industri termasuk menerusi pelaksanaan program industri di kampus dan kehadiran syarikat-syarikat industri dalam kampus universiti.

"Kita telah melaksanakan pelbagai program yang melibatkan industri di kampus, khususnya di universiti teknikal Malaysia dan juga universiti-universiti lain.

"Sebagai contoh, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang walaupun bukan dalam kategori universiti teknikal, turut mengadakan kerjasama strategik dengan industri dan pendekatan sama boleh diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain," katanya.

Must Watch Video

Advertisement