Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti tindakan kerajaan Oman yang melarang pelajarnya melanjutkan pengajian di empat buah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, susulan pelbagai aduan dan dakwaan terhadap institusi tersebut.

Dalam kenyataan ringkas kepada Bernama, wakil kementerian itu berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menghubungi agensi akreditasi Oman untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung larangan itu.

Kementerian itu mengulas kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi Oman pada Isnin seperti dilaporkan oleh timesofoman.com yang membuat keputusan itu selepas merujuk kepada pelbagai aduan daripada pelajarnya mengenai IPT berkenaan antaranya berkaitan hal akademik dan pentadbiran.

Laporan itu turut menyebut terdapat dakwaan bahawa IPT berkenaan tidak mematuhi beberapa undang-undang seperti pendaftaran pelajar dan membenarkan pelajar menggunakan visa pelancong.

Menurut laporan itu universiti yang disenaraikan ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), SEGi University, Limkokwing University of Creative Technology dan Binary University of Management and Entrepreneurship.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM Profesor Datuk Dr Zulkiple Abdul Ghani berkata pada masa ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung perkara itu dan akan mengadakan pertemuan segera dengan Kedutaan Oman di sini untuk memperhalusi isu-isu yang berbangkit.

"Universiti pada masa kini tidak mempunyai maklumat yang sahih dan lanjut mengenai larangan yang dilaporkan ini dan isu-isu yang bersangkutan secara langsung dengan USIM sehingga membawa kepada keputusan ini diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, segala isu berkaitan pelajar antarabangsa sama ada dalam soal kebajikan, kewangan, akademik dan lain-lain sentiasa diberi perhatian oleh USIM kerana mereka adalah 'stake holders' universiti itu.

Katanya pada masa ini terdapat 126 pelajar Oman berstatus aktif yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang di USIM.

Sementara itu, SEGi University berkata ia akan mendapatkan butiran lanjut mengenai larangan itu dari agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

Wakil Binary University of Management and Entrepreneurship yang dihubungi Bernama pula berkata pihaknya hanya akan membuat kenyataan mengenai larangan itu selepas menerima makluman rasmi daripada pihak berkaitan.

Usaha masih dibuat bagi mendapatkan komen dari Universiti Limkokwing.

-- BERNAMA