AYER KEROH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa kerajaan mempercepatkan kajian penggunaan vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan terhadap golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ini kerana trend peningkatan jangkitan COVID-19 membabitkan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan selain beberapa buah negara sudah memulakan langkah berkenaan.

Katanya, sehingga kini 82,000 kanak-kanak yang dilaporkan sudah dijangkiti wabak itu.

“Harapan saya agar kajian yang dibuat untuk vaksin kanak-kanak dapat disegerakan dan kita lihat di negara luar sudah ada yang memberi vaksin untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas seperti Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Rina berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan pemantauan petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu.

Di PKRC berkenaan, seramai 147 pesakit kanak-kanak sedang menjalani kuarantin dan daripada jumlah itu, 99 daripadanya merupakan mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun sementara 48 lagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Mengulas lanjut, ujar Rina, mengikut data terkini, jangkitan tertinggi COVID-19 melibatkan kanak-kanak membabitkan mereka dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun yang menyumbang 33 peratus daripada jumlah keseluruhan.

KPWKM juga, kata Rina, sudah berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membolehkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi kanak-kanak disegerakan.

Rina berkata, pihaknya meletakkan sasaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat dimulakan sebelum bermula fasa ketiga program PICK yang kini sedang memberi tumpuan kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).