KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya mempunyai kaunselor sekiranya khidmat itu diperlukan oleh keluarga Zayn Rayyan.

"Kita dimaklumkan buat masa ini pihak polis masih lagi menyiasat kes tersebut maka belum lagi ada kaunselor (yang datang kepada mereka) melainkan pihak keluarga ada minta (kita boleh) beri kaunseling," katanya selepas menghadiri Program Memacu Kehidupan Krismas 2023 di sini, hari ini.

Nancy berkata buat masa ini juga pihak KPWKM tidak boleh turun ke lokasi kejadian sehingga proses siasatan selesai.

"Tidak dibenarkan (turun ke lokasi kejadian), difahamkan ada beberapa perkara yang belum dimuktamadkan polis. Kita tunggu selesai dulu penyiasatan sebelum kita ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

-- BERNAMA