PUTRAJAYA: Semua agensi Kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang mengelola premis perniagaan diarahkan untuk menurunkan kadar sewaann berkuatkuasa bulan ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung pada Selasa, sebagai sebahagian usaha meringankan kos operasi peniaga kecil.
Advertisement
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan negeri turut mengikuti langkah yang sama, seperti komitmen yang dizahirkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
“Kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA, bulan ini juga mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka, dan mereka akan umumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat.
“Dan meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, saya ingin menyeru semua pihak berkuasa tempatan negeri-negeri untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini
“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan Kerajaan Negeri yang lain, dan saya ingin mengesa mereka menurunkan dengan kadar segera dan berkuatkuasa bulan ini juga, untuk mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.