Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Krisis kesihatan mental: Ibu bapa ada di rumah, namun tidak wujud dalam 'dunia' anak - Pakar

Sesetengah remaja tinggal bersama keluarga tetapi tidak mempunyai ruang selamat untuk meluahkan tekanan, kekecewaan atau masalah dihadapi. - Gambar hiasan
Sesetengah remaja tinggal bersama keluarga tetapi tidak mempunyai ruang selamat untuk meluahkan tekanan, kekecewaan atau masalah dihadapi. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kehadiran fizikal ibu bapa di rumah tidak semestinya menjamin kesejahteraan emosi anak, terutama dalam kalangan remaja yang berdepan tekanan psikologi, konflik dalaman dan cabaran hubungan sosial.

Pakar Psikologi dan Naib Canselor SEGi Universiti, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, sesetengah remaja tinggal bersama keluarga tetapi tidak mempunyai ruang selamat untuk meluahkan tekanan, kekecewaan atau masalah dihadapi.

"Keadaan ini memperlihatkan kepentingan hubungan emosi yang berkualiti antara ibu bapa dengan anak, selain keperluan menyediakan ruang komunikasi terbuka agar remaja berasa selamat untuk berkongsi masalah.

"Hubungan kekeluargaan yang lemah, kesunyian, kekurangan persahabatan rapat dan pengalaman buli mempunyai kaitan dengan kemungkinan lebih tinggi remaja mengalami gejala kemurungan," ujar Mariani ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Selasa.

Situasi itu turut digambarkan menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 yang mendapati 26.9 peratus remaja bersekolah di Malaysia menunjukkan gejala kemurungan berdasarkan instrumen saringan atau Soal Selidik Kesihatan Pesakit-9 (PHQ-9).

Dapatan melibatkan 33,523 remaja bersekolah itu juga menunjukkan 16.2 peratus responden melaporkan berasa kesunyian, manakala 4.2 peratus menyatakan mereka tidak mempunyai rakan rapat.

Bagaimanapun, angka tersebut merujuk kepada gejala yang dikenal pasti melalui saringan dan tidak semestinya bermaksud semua responden mempunyai diagnosis kemurungan secara klinikal.

Mengulas lanjut, Mariani berkata, kesihatan mental remaja tidak seharusnya mendapat perhatian hanya selepas berlaku insiden serius, sebaliknya tanda awal seperti perubahan tingkah laku, pengasingan sosial, kemarahan melampau dan gangguan emosi perlu dikenal pasti lebih awal.

Menurut beliau, pendedahan berlebihan kepada media sosial dan permainan video yang tidak terkawal boleh menyumbang gangguan tidur, tekanan emosi, perbandingan sosial yang tidak sihat serta kesukaran mengawal impuls.

"Namun, media sosial atau permainan video tidak boleh dianggap sebagai punca tunggal tingkah laku agresif kerana keadaan itu lazimnya melibatkan interaksi pelbagai faktor psikologi, keluarga, persekitaran dan sosial.

"Ibu bapa disaran memberikan perhatian terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak, selain mengamalkan komunikasi yang konsisten tanpa terus menghukum atau memperlekehkan masalah yang diluahkan," jelasnya.

Pada masa sama, kerjasama antara keluarga, pihak sekolah dan profesional kesihatan mental perlu diperkukuh bagi memastikan remaja yang menunjukkan tanda risiko dikenal pasti lebih awal dan mendapat sokongan sewajarnya.

Pendekatan itu penting bagi memastikan kesejahteraan emosi remaja diberikan perhatian yang setara dengan keperluan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Must Watch Video

Advertisement