KUALA LUMPUR: Kelonggaran peraturan mengimport bahan makanan daripada negara luar seperti yang diumumkan kerajaan dilihat sebagai strategi jangka pendek dalam menurunkan harga barangan di pasaran.

Jelas Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, menerusi kelonggaran itu, ia membuka ruang kepada peruncit untuk membawa masuk makanan import dan dikhuatiri boleh berlakunya lambakan di pasaran.

"Saya rasa pelonggaran peraturan import bahan makanan akan menyebabkan peruncit-peruncit membawa barang-barang (import) luar masuk dan memotong margin keuntungan pengimport dahulu dan ini akan menurunkan harga untuk jangka pendek.

"Kita akan lihat misalnya hypermarket, supermarket dan pasar-pasar akan melambakkan barang import (dengan harga) jauh lebih rendah daripada sebelumnya," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Isu bekalan ayam: Kerajaan henti eksport ayam, wujudkan stok penimbal - Ismail Sabri

BACA: Kabinet setuju jagung, PKC jadi alternatif makanan ayam - Ismail Sabri

Krisis Makanan | Adakah semakin meruncing?

Bagaimanapun tambah Barjoyai, meskipun harga barangan di pasaran semakin menurun, namun pembelian barangan import menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi tekanan kepada nilai tukaran ringgit.

"Jadi mungkin dalam beberapa minggu harga akan turun tetapi sementara itu kita akan lihat peningkatan import ini akan menyebabkan tekanan kepada mata wang ringgit.

"Ini kerana pembelian import dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan kita terpaksa meningkatkan permintaan kepada dolar AS dan nilai pertukaran akan merosot menyebabkan harga barang sebenar selepas mengambil kira kadar pertukaran akan mahal semula.

"Ini merupakan jangka pendek yang perlu diikuti oleh sesuatu yang lebih konkrit untuk jangka pertengahan dan jangka panjang," katanya lagi.

Pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan permit import (AP) makanan dimansuhkan serta merta susulan kekurangan bekalan dalam negara.

Hari ini pula, Kerajaan mengumumkan langkah jangka pendek menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan, bermula 1 Jun ini, sehingga harga dan pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik kembali stabil.

Turut diumumkan pemansuhan AP untuk gandum.