PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menjadikan penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC), sebagai alternatif kepada makanan ayam, untuk langkah panjang mengawal isu harga dan bekalan bahan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet bersetuju untuk meminta kerjasama Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), akan membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC, dan sebagainya.

“Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi Kerajaan, Pertubuhan Peladang, dan Koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam. Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Ini merupakan sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP,” katanya lagi.

BACA: Kerajaan henti eksport ayam, wujudkan stok penimbal - Ismail Sabri

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Peguam Negara telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

Kerajaan juga, kata Ismail Sabri, telah meminta MAFI dan KPDNHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (PeraturanPeraturan Kawalan Bekalan 1974 ).

Berdasarkan akta berkenaan, individu yang bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun (atau kedua-dua sekali), manakala perbadanan/syarikat boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Dalam kenyataan berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan AP untuk gandum.

“Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat,”  katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan Kerajaan demi menjaga kepentingan rakyat, yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup, serta kekurangan bekalan.