SHAH ALAM: Samirah Muzaffar dan dua remaja hari ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Samirah, 47, dan dua remaja yang kini berumur 19 dan 16 tahun.

Ab Karim memutuskan keterangan bahawa Samirah dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh dan tiada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka membunuh Nazrin, 45.

Kes Cradle Fund | Samirah, dua anak dibebas, dilepas mahkamah

Berikut adalah kronologi kes berkenaan.

14 Jun 2018 - Nazrin ditemui maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Mutiara Damansara, sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

15 Jun 2018 - Jenazah Nazrin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 6, Kota Damansara, Selangor.

25 Jun 2018 - Laporan forensik mengesahkan ada kesan petrol pada tubuh, katil, tilam dan telefon bimbit mangsa.

6 Ogos 2018 - Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat.

14 Ogos 2018 - Isteri Allahyarham Nazrin, Samirah dakwa siasatan polis tidak telus termasuk laporan media tidak konsisten dengan laporan bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

BACA: Kes bunuh CEO Cradle Fund: Pendakwaan gagal buktikan waktu kejadian - Shafee

BACA: Kes bunuh CEO Cradle Fund: Samirah, dua anaknya dilepas dan dibebaskan

4 Sept 2018 - Samirah dan bekas suami pertamanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

7 Sept 2018 - Bekas suami pertama Samirah dibebaskan.

9 Sept 2018 - Dua remaja direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

10 Sept 2018 - Polis mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tiga hari tempoh tahanan reman Samirah.

8 Okt 2018 - Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan, bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya. Bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.

15 Okt 2018 - Jenazah Nazrin dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6, Kota Damansara.

4 Mac 2019 - Samirah serta dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas pertuduhan membunuh. Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga mereka.

12 Mac 2019 - Samirah dan dua remaja didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin. Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

27 Mac 2019 - Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan jaminan masing-masing RM50,000 dengan dua penjamin kepada dua remaja lelaki itu.

11 April 2019 - Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan ikat jamin Samirah.

10 Mei 2019 - Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan ikat jamin Samirah.

28 Mei 2019 - Mahkamah Persekutuan Putrajaya membenarkan Samirah dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 dan dua penjamin serta beberapa syarat tambahan.

6 Sept 2019 - Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman bermula.

14 Feb 2022 - Pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi.

22 April 2022 - Mahkamah Tinggi menetapkan keputusan kes pada 30 Mei 2022.

19 Mei 2022 - Mahkamah Tinggi Shah menetapkan tarikh baharu untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan pada 21 Jun 2022.

-- BERNAMA