PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung di Perdana Putra di sini hari ini begitu berlainan daripada biasa dengan ketiadaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

"Suasana sayu amat dirasai tatkala melihat kekosongan kerusi yang ditinggalkan oleh Allahyarham YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, seorang sahabat dalam Jemaah Menteri," katanya yang juga Setiausaha Jemaah Menteri dalam catatan di Facebook miliknya serta memuat naik gambar tempat duduk Salahuddin yang kosong.



Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam Ahad lepas setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Mohd Zuki berkata meskipun beliau telah tiada, semangat dan komitmen Salahuddin dalam menggalas tugas sebagai anggota Kabinet khususnya dalam menangani isu kos sara hidup rakyat akan diteruskan dan diperjuangkan sehingga agenda kerajaan tercapai.

Agenda AWANI: Legasi Rahmah Salahuddin Ayub


Mohd Zuki dalam catatan Facebook beliau sebelum ini berkata beliau mengenali Salahuddin sebagai seorang anggota Jemaah Menteri yang begitu komited terhadap tugasannya terutamanya berkaitan kos sara hidup rakyat.

"Pemergian Salahuddin merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat negara dan ummah," katanya.

-- BERNAMA