Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter menyediakan tambahan enam perkhidmatan tren komuter sempena sambutan Aidilfitri bermula 1 hingga 10 Julai ini, bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna.

Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Azsnidah Shah Shahari berkata, tambahan itu bagaimanapun hanya melibatkan laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, yang mana tempoh menunggu dapat dipendekkan daripada dua jam kepada satu jam.

"Pada hari biasa, kita menyediakan 14 perkhidmatan tren, melibatkan ketiga-tiga laluan iaitu Butterworth-Padang Besar-Butterworth, Butterworth-Gurun-Butterworth, dan Butterworth-Kamunting-Butterworth, namun sempena sambutan Aidilfitri kita menyediakan tambahan enam perkhidmatan tren bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth.

"Jumlah penumpang pada hari biasa sekitar 3,000 penumpang sehari, namun ia dijangka meningkat sekali ganda pada musim perayaan ini dan dengan 20 perkhidmatan tren yang disediakan bermula 1 hingga 10 Julai ini, ia dilihat berupaya menampung pertambahan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri

Program Ihya' Ramadhan 2016, di Stesen KTM Sungai Petani di sini hari ini. Sementara itu, Azsnidah Shah berkata, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan tren komuter kini semakin meningkat berbanding dua bulan pertama sejak diperkenalkan di sektor utara pada 11 September tahun lalu.

Sehingga Mei lalu, seramai 415,000 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut dengan purata 3,000 orang sehari berbanding kira-kira 500 penumpang sehari sewaktu mula diperkenalkan.

"Terdapat 18 stesen yang mana masing-masing mempunyai tarikan tersendiri, dan laluan yang paling tinggi jumlah penumpang ialah Butterworth-Padang Besar-Butterworth," katanya.

Azsnidah Shah berkata, menjelang sambutan Aidilfitri dalam tempoh seminggu lagi, pihaknya juga akan mempertingkatkan aspek keselamatan termasuklah menambahkan bilangan anggota polis bantuan yang bertugas di stesen, selain meningkatkan kemudahan dan infrastruktur dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, sempena Program Ihya' Ramadhan 2016, KTM dengan kerjasama Hotel Seri Malaysia dan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd mengagihkan sejumlah 1,000 pek bubur lambuk dan kurma kepada penumpang dan orang ramai yang berada di Stesen KTM Sungai Petani.