KUALA LUMPUR:Pusat bandar raya Kuala Lumpur memerlukan kolam tadahan air atau sistem takungan banjir tambahan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku ketika hujan lebat.

Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kolam itu antara sebahagian sistem kawalan banjir bersepadu melibatkan sistem perparitan yang sempurna dan terowong bawah tanah untuk mengalirkan air keluar dari pusat bandar.


Banjir Kuala Lumpur | Kuala Lumpur perlu kolam takungan banjir lagi

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bagaimanapun kekangan ruang yang sempit serta pembangunan pesat menyebabkan pembinaan sistem takungan banjir secara konvensional itu menjadi lebih sukar.

"Sehubungan itu, beberapa alternatif boleh difikirkan bagi membina sistem seakan kolam takungan, antaranya ialah membina kolam bawah tanah, menukarkan fungsi kawasan lapang menjadi kolam tadahan, mengguna pakai kawasan tanah bencah atau bekas lombong serta taman rekreasi.

 Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir, Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman

"Off river storage atau Kolam Takungan Hiliran juga merupakan alternatif terbaik yang boleh digunakan untuk mengawal air larian banjir," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berpandangan, satu kaedah baharu perlu difikirkan kerajaan untuk mengatasi masalah itu termasuk membina kolam tadahan air bawah tanah.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh

Ini kerana, jelas beliau, kekangan lokasi yang terhad menyukarkan pembinaan kolam takungan air khususnya di pusat bandar.

"Kolam takungan masih tidak cukup, malah kolam takungan di permukaan seperti kolam boyan juga amat terhad, jadi kolam takungan jenis baharu perlu difikirkan.

"Setakat ini, pihak kami sedang membuat kajian untuk membina kolam tadahan air bawah tanah seperti mana yang diamalkan di Jepun dan beberapa negara lain.

BACA: Banjir kilat KL: Pintu air kolam takungan tidak berfungsi?

BACA: RTB Sungai Bunus 'lupa' diselenggara punca KL terus banjir?

BACA: Apa guna status KL bandar moden terancang, jika isu banjir masih tidak selesai  


"Bagaimanapun pembinaan kolam itu mestilah dibina di kawasan pusat bandar kerana ia lebih memberi kesan berbanding pembinaan di luar kawasan bandar," tegasnya.

Semalam, Astro AWANI mendedahkan projek pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus yang sepatutnya menjadi kolam tadahan air didakwa gagal berfungsi kerana tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menyebabkannya dipenuhi lumpur, tanah dan sampah.